PERANAN BAPA SEMAKIN MENCABAR


Oleh: Lokman bin Ismail

Masyarakat menghargai pengorbanan ibu. Hari Ibu disambut meriah setiap tahun. Bermacam-macam program diadakan sempena Hari Ibu. Tetapi pengorbanan bapa seperti dilupakan. Ramai tidak menyedari wujudnya sambutan Hari Bapa. Tidak ada pihak mengadakan program meraikan Hari Bapa. Tidak ada tokoh Bapa Mithali atau Bapa Soleh seperti dianugerahkan kepada ibu sempena Hari Ibu.

Persoalan ini ditimbulkan bukan atas rasa irihati kaum bapa terhadap kaum ibu. Tujuannya lebih menumpukan untuk melahirkan rasa kesedaran kaum bapa terhadap tanggungjawab yang terpaksa ditanggung kerana manusia mudah lupa jika tidak diulang sebut tentang tanggungjawab mereka. Manusia kurang motivasi jika apa yang dilakukan tidak dihargai. Wajar benar sambutan hari Bapa turut dimeriahkan seperti sambutan Hari Ibu. Perkara penting untuk melahirkan keluarga bahagia terletak kepada kepimpinan bapa. Perkara itu meliputi keupayaan mendidik, menjaga keselamatan, memberi kasih sayang, menyara perbelanjaan dan mempertahankan maruah. Justeru, bapa perlu banyak berkorban demi melaksanakannya.
Sesungguhnya dalam hal ini bapa menanggung amanah yang besar. Maka dalam melaksanakan tugas tersebut memerlukan keikhlasan, kesediaan, kesungguhan, pengetahuan tentang tugas kebapaan, kemampuan dan ketakwaan kepada Allah SWT.

Semua aspek ini mempunyai pendekatan berbeza yang wajar dilakukan oleh setiap bapa dengan perasaan yakin dan tenang. Setiap aspek memerlukan kemahiran dan kemampuan khusus yang perlu dikuasai oleh kaum bapa. Kemahiran kebapaan bukan lahir secara ‘kebetulan’ apabila bergelar bapa. Semuanya memerlukan usaha ke arah itu. Seorang bapa dapat mendalami ilmu
kebapaan dengan menghadiri kursus, berkongsi pengalaman, pembacaan dan penghayatan terhadap tugas.

Tugas bapa bukan setakat menyediakan keperluan hidup seperti tempat tinggal, makanan dan pakaian kepada anak-anak. Bahkan belum sempurna tugas tersebut biarpun telah berjaya memberi kemewahan material kepada anak-anak. Keperluan bapa melaksanakan tanggungjawab adalah meliputi keperluan fizikal dan rohani. Kedua-dua keperluan itu sama penting. Bapa tidak patut menganggap tugas yang dilakukan sebagai satu beban. Perasaan teras terbeban dengan tanggungjawab akan menghilangkan rasa ikhlas. Ini menjadikan keadaan lebih kusut dan bercelaru. Tanggungjawab kebapaan tidak dapat dilakukan dengan sempurna.


Sebenarnya memimpin keluarga ke jalan yang diredhai Allah SWT adalah satu jihad bagi seorang bapa untuk mendapat ganjaran besar di sisi Allah SWT. Setiap masa yang diluangkan untuk mendidik dan bermesra dengan anak dan ahli keluarga juga adalah sebahagian daripada jihad. Apa yang dilakukan tidak sia-sia. Setiap tenaga yang dicurahkan dan wang yang dibelanjakan untuk keluarga adalah sedekah. Balasan pahala yang disediakan amat besar. Bapa mithali mendapat kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat.


Dalam hal ini, Rasulullah SAW adalah contoh ikutan terbaik. Rasulullah SAW menjelaskan aspek pergaulan dan kasih sayang adalah intipati kebahagiaan sesebuah keluarga. Oleh itu Rasulullah SAW menganjurkan agar setiap bapa sentiasa melakukan yang terbaik untuk keluarganya.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Orang yang paling baik di kalangan kamu ialah orang yang paling baik (pergaulannya) dengan ahli keluarga dan aku adalah yang terbaik dari kalangan kamu dalam pergaulan dengan ahli keluargaku.” (Ibnu Majah dan Ibnu Hibban).

Ramai bapa mengabaikan aspek kemesraan dalam pergaulan dengan anaK-anak mereka. Mereka menganggap perkara tersebut tidak penting dalam membina kebahagiaan keluarga. Ada sebilangannya yang lebih suka menunjukkan sikap bengis sebagai cara mendidik anak. Dengan itu anak tidak berpeluang ‘duduk rapat’ dengan bapa. Cara ini mengikut mereka lebih berkesan agar anak-anak mudah mendengar kata dan tidak berani melakukan perbuatan yang ditegah.

Namun begitu cara sedemikian mungkin berkesan ketika mana anak-anak masih kecil tetapi hakikatnya kepatuhan anak kepada setiap larangan bukanlah atas kesedaran atau Kefahamannya mengapa sesuatu itu perlu dilakukan atau dijauhi. Sebaliknya, anak tersebut tidak melakukan perbuatan dilarang hanya disebabkan takut kepada hukuman.

Sebenarnya, bapa wajar sentiasa mengambil pendekatan terbaik untuk membentuk hubungan mesra dan ceria dengan anak-anak. Ajarkan kepada anak apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan. Beritahu mereka mengapa begitu dan begini terjadi. Malah, bapa sendiri perlu menunjukkan contoh yang baik. Di waktu itulah juga masa yang sesuai dijelaskan kaitan larangan dengan kehendak agama dan undang-undang kerana semua yang betul dan salah
mempunyai alasan yang perlu diperjelaskan kepada anak. Jika ada perkara yang
belum mampu mereka fahami, beritahu mereka “apabila dewasa nanti baru faham. Sekarang ini cukuplah tahu kena buat, jangan buat, boleh dan tidak boleh buat”.

Amat penting bagi bapa agar sentiasa berpegang bahawa konsep mendidik anak hendaklah berterusan. Bapa adalah contoh ikutan untuk membentuk peribadi anak. Oleh itu anak memerlukan masa bersama-sama bapa untuk memerhati dan mencontohi apa yang dilakukan oleh bapanya. Bapa adalah guru yang paling berkesan. Anak mudah ‘percaya’ apa yang diberitahu oleh bapanya. Hal ini amat penting dalam soal akidah dan keimanan kerana bapa yang mencorakkan akidah anak mengikut apa yang diajarkan dan anak ‘sedia’ menerima apa yang diberikan kepada mereka. Sekiranya bapa tidak menjalankan tanggungjawab tersebut akan ada pihak lain akan mengambil alih.

Oleh itu amat penting bagi seseorang bapa memastikan apa yang sepatutnya diterima oleh anak.
Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Setiap anak dilahirkan dalam keadaan suci bersih. Ibu bapalah bertanggungjawab mencoraknya anak itu menjadi Yahudi, Nasrani atau Majusi.” (Bukhari dan Muslim)
Pengaruh negatif persekitaran dan rakan sebaya contohnya boleh menyebabkan anak-anak hilang pedoman jika tidak dibimbing. Anak yang bermasalah dan terlibat dengan gejala yang tidak baik kebanyakannya adalah berpunca dari kurangnya perhatian daripada bapa.

Hadith riwayat at-Tirmizi bermaksud:
“Tidak ada sesuatu pemberian yang lebih baik daripada seseorang ayah kepada anaknya selain daripada budi pekerti yang baik.”
Firman Allah SWT bermaksud:
“Wahai orang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari api neraka yang bahan-bahan bakarnya ialah manusia dan batu (berhala),” (at-Tahrim: 6)

Bapa mithali akan sentiasa mencari peluang untuk menghabiskan masa bersama-sama dengan anak dan ahli keluarga. Bahkan anak menjadi inspirasi kepada seseorang bapa untuk terus berusaha lebih gigih dan sentiasa mengutamakan keluarga. Sebab itulah keletihan dan tekanan kerja akan hilang apabila melihat wajah anak-anak serta mendapat layanan mesra daripada isteri. Sebaliknya, bapa yang tidak bertanggungjawab akan menganggap anak dan isteri sebagai beban dan menambahkan tekanan jiwa. Akhirnya mereka menjadi mangsa melepas geram akibat tekanan perasaan yang sebenarnya berpunca daripada masalah lain. Keadaan ini memburukkan lagi interaksi dan kasih sayang dalam keluarga sehingga kehidupan menjadi lebih tertekan. Sebab itulah, bapa bermasalah lebih suka berada di luar rumah bersamasama
rakan. Mereka lebih mengutamakan kawan-kawan daripada apa yang diperlukan oleh anak-anak dan isteri. Tindakan ini sebenarnya tidak akan menyelesaikan masalah.

Ramai juga para bapa yang sentiasa menghabiskan masa di luar rumah akan mudah terlibat dalam aktiviti kurang baik. Akibatnya tanggungjawab terhadap keluarga semakin diabaikan.
Oleh itu para bapa janganlah mengambil mudah kasih sayang dan perhatian yang diperlukan oleh anak. Para bapa tidak boleh beranggapan bahawa sudah memadai kasih sayang dan perhatian yang diberikan oleh ibu.

Diriwayatkan oleh Bukhari satu kisah bahawa pada satu hari semasa Rasulullah mencium cucunya, perbuatan itu dilihat oleh Aqra bin Habis at-Tamimi lalu beliau mengatakan: “Aku mempunyai sepuluh anak, tetapi tidak seorang pun daripada mereka pernah aku cium.” Rasulullah SAW lalu menjawab: “Apa dayaku apabila Allah telah mencabut kasih sayang daripada hatimu”.
Rasulullah SAW tidak pernah mengabaikan tanggungjawab sebagai bapa terhadap anak biarpun yang sudah berumahtangga. Rasulullah SAW sentiasa mengunjungi rumah Fatimah dan bertanya khabar, serta memberi nasihat berguna dalam menjalankan tugas sebagai isteri dan ibu. Malah, Rasulullah SAW sentiasa memberi sambutan mesra setiap kali ketibaan Fatimah mengunjungi baginda. Baginda bangun menyambut ketibaan Fatimah, memberi kucupan dan
memimpinnya ke tempat duduk.

Sesungguhnya kasih sayang berterusan seorang bapa terhadap anak biarpun yang sudah berkahwin bukanlah mengganggu urusan hidup anak, kerana ikatan kasih sayang bapa terhadap anak adalah kasih sepanjang hayat.

Kesimpulannya, anak-anak akan lebih menghormati dan kagum kepada bapa yang sedia memahami dan menghormati keperluan mereka. Anak tidak akan mensia-siakan pengorbanan bapa yang menjalankan tanggungjawab yang terbaik.

"ANAK NAKAL UJIAN ALLAH"




PUNCANYA kecil saja, tetapi amuk si kecil berlarutan apabila permintaannya tidak ditunaikan. Selepas puas menangis, meronta dan menjerit, si kecil mula membaling barang yang ada di sekelilingnya.

Pujukan si ibu tidak diendahkan. Geram ‘tunjuk perasaannya’ tidak dipedulikan oleh ibu, si kecil kemudian menggigit dan menarik rambut ibunya berulang kali. Hilang sabar dengan kerenah anak, akhirnya si ibu memukul si comel.

Situasi itu mungkin pernah dialami kebanyakan ibu atau bapa. Anak kecil membuat kerenah dan ‘tidak makan pujuk’, misalnya mahukan perhiasan kaca atau benda tajam sebagai permainan, mengamuk kerana perkara remeh seperti marah dengan usikan si abang, kemahuan untuk membeli mainan mahal tidak dipenuhi atau tidak mahu makanan yang terhidang tetapi minta makanan yang tiada.

Berdepan anak yang banyak kerenah kadangkala membuatkan ibu bapa kurang sabar.

Apapun, kerenah anak adalah ujian Allah. Ia menguji kesabaran dan keimanan manusia kepada Allah.

Firman Allah SWT dalam surah al-Anfal ayat 28 bermaksud: ”Dan ketahuilah bahawasanya harta kekayaan dan anak kamu adalah cubaan hidup dan sesungguhnya di sisi Allahlah pahala yang amat besar.”

Panel pendakwah dan pendidik, Wan Akashah Wan Abdul Hamid, berkata Allah sengaja menguji keimanan kita untuk melihat sama ada kita semakin bersyukur apabila dikurniakan zuriat atau semakin jauh daripada-Nya.

Segala ujian itu tidak terlepas daripada dua perkara, iaitu sebagai penghapus dosa atau peningkatan darjat.

“Apapun sebab kita diuji dengan kerenah anak, Allah bukan bertujuan menyeksa kehidupan kita, tetapi ini tanda kasih sayang-Nya. Sebelum ibu bapa memilih kaedah paling sesuai mendidik atau mengajar anak, mereka perlu pastikan tiga perkara iaitu mengenal pasti jenis kenakalannya, tahap nakal serta membezakan kesilapan dan kesalahan anak.

“Ibu bapa perlu faham jenis atau kategori kenakalan anak kerana pemahaman perkara ini penting supaya mereka dapat menangani masalah anak dengan betul dan berkesan.

“Selain itu, tahap kenakalan anak berbeza mengikut peringkat umur, jantina, kecerdasan akal fikiran, pengaruh rakan dan persekitaran, didikan, suasana keluarga dan taraf ekonomi sesebuah keluarga. Yang pasti, kenakalan anak yang usianya lebih besar adalah lebih serius berbanding anak kecil.

“Anak tidak sepatutnya dihukum kerana melakukan kesilapan, tetapi memadai dengan dinasihati supaya dia lebih berhati-hati pada masa akan datang.

“Contoh kesilapan ialah anak tidak sengaja memecahkan tingkap ketika bermain bola, manakala kesalahan pula adalah perbuatan yang tidak betul dan disengajakan. Ia terbahagi dua iaitu kesalahan besar dan kecil,” katanya.

Wan Akashah berkata, kesalahan besar ialah yang jelas melanggar syariat atau undang-undang dan boleh mendatangkan mudarat kepada dirinya dan orang lain. Contohnya anak sengaja bercakap bohong, tidak solat atau memukul rakan.

Kesalahan kecil pula biasanya tidak jelas melanggar syariat dan tidak membahayakan, tetapi mungkin melanggar peraturan manusia. Contohnya suka menconteng dinding atau tidak mahu buat kerja sekolah.

Sebagai manusia biasa, ada kalanya kerenah anak membuatkan ibu bapa hilang sabar. Selain asuhan baik, doa adalah kaedah penting yang mesti diamalkan ibu bapa dalam mendidik anak.

“Ada doa di dalam al-Quran untuk melembutkan hati anak supaya dengar cakap dan mudah mengerjakan solat. Antara doa yang perlu diamalkan ialah surah Toha ayat 1-5, surah al-Syura ayat 19 dan surah al-Hasyri ayat 21. Doa ini boleh diamalkan dengan meniup pada ubun rambut anak atau ditiup ke dalam air,” katanya.

Menurutnya, antara pendekatan lain yang boleh diambil dalam menangani kerenah anak ialah:

- Bersikap adil dalam semua perkara.

- Konsisten dalam tindakan menangani masalah.

- Jalin hubungan baik dengan anak.

- Jadikan diri sendiri sebagai contoh.

- Berlembut walaupun tegas.

- Tunjukkan kemesraan dan kasih sayang.

- Tunjukkan penghargaan pada anak.

- Jangan bezakan kasih sayang terhadapnya.

- Sesuaikan tindakan dengan watak.

- Kurangkan pengaruh negatif.

- Tunjukkan minat mendalam dalam menangani masalahnya.

- Beri peluang untuk anak meluahkan perasaannya.

- Adakan usrah keluarga.

- Jangan mengungkit kelemahannya.

- Dapatkan kerjasama keluarga.

Bagi masalah anak yang banyak menangis dan memberontak apabila kehendaknya tidak dipenuhi, ibu bapa perlu mengajar serta melatih anak menahan emosi. Ibu bapa perlu cipta suasana yang dapat menjauhkan anak daripada emosional seperti menangis.

Amaran atau gertakan seperti jika menangis lagi, permintaannya tidak dipenuhi boleh dikatakan kepada anak terbabit. Misalnya: “Jangan menangis lagi. Kalau menangis lagi, ibu tak mahu penuhi permintaan Haikal.”

Menurutnya, apabila berdepan kerenah anak nakal, antara kebiasaan ibu bapa ialah memukulnya sama ada menggunakan rotan, tangan atau tali pinggang sebagai hukuman.

“Tidak dinafikan cara itu sangat memberi kesan terhadap anak. Apapun, perlu diingat, memukul anak lebih banyak memberi kesan negatif jika salah caranya. Anak yang besar atau remaja tidak sesuai dihukum cara itu kerana menimbulkan emosi buruk, berdendam, trauma atau membentuk peribadi kasar,” kata Wan Akashah.

Menurutnya, terlalu kerap memukul juga membuatkan anak menjadi lali dan sakit dipukul tidak lagi memberi erti kepadanya. Anak hanya berkelakuan baik sementara di depan ibu bapa kerana tidak mahu dipukul tetapi apabila di luar pengawasan ibu bapa, mereka menjadi lebih liar.

Katanya, memukul anak nakal mesti kena caranya. Pada zaman dulu, rotan digunakan untuk mengajar anak iaitu selepas amaran tidak diendahkan, anak itu dirotan. Selepas dirotan, anak itu dinasihati supaya tak mengulangi kesilapan.

Tags: info, keibubapaan, tips
Prev: HARGAILAH ISTERI
Next: ILMU KEIBUBAPAAN

JUALAN MY RAUDHATUL SHOP



PERKEMBANGAN KANAK-KANAK



"Perkembangan" bermaksud suatu perubahan yang tidak boleh diukur secara kuantiti tetapi ternyata telah berlaku dan boleh dilihat dalam satu tempoh yang panjang. Ianya menekankan kepada aspek keupayaan dan kebolehan seseorang untuk berfungsi dan berinteraksi dengan persekitarannya untuk keselesaan hidup sepanjang hayat. Ianya juga disebut "perubahan secara kualiti". Contohnya, kebolehan dari segi mengkoordinasi pergerakan anggota badan, bertutur, berinteraksi dan meluahkan perasaan dengan orang dan keadaan sekeliling.

Tahap-tahap perkembangan kanak-kanak terbahagi kepada 4 aspek yang nyata dapat dilihat dalam proses pembesaran kanak-kanak iaitu ;

* Perkembangan Fizikal
* Perkembangan Bahasa
* Perkembangan Kognitif
* Perkembangan Sosio-Emosi

Semua kanak-kanak akan melalui corak perkembangan yang sama, dan boleh dijangka dengan tepat apa peningkatan seterusnya selepas sesuatu kebolehan. Contohnya, dari segi perkembangan fizikal. Tahap-tahap yang dilalui oleh kanak-kanak ialah bermula :

* Meniarap
* Merangkak
* Duduk
* Berdiri
* Berjalan

Jadi, apakah kepentingannya bagi PA(Pembimbing Awal) Kanak-Kanak mengetahui tahap-tahap perkembangan ini?

1. Berupaya mengenalpasti kedudukan atau kebolehan kanak-kanak. Dengan ini PA tidak akan mengharapkan lebih daripada apa yang boleh dilakukan oleh kanak-kanak.
2. Memahami bahawa setiap kanak-kanak adalah individu. PA hendaklah menyesuaikan aktiviti dan rangsangan mengikut ciri-ciri dan kebolehan kanak-kanak.
3. Membuat perancangan aktiviti yang memahirkan kebolehan kanak-kanak ke peringkat atau tahap seterusnya.

50 CADANGAN AKTIVITI DI TASKA



Anda masih memikirkan apa aktiviti yang sesuai untuk dilakukan bersama kanak-kanak di TASKA anda? Kali ini saya ingin berkongsi dengan anda 50 cadangan aktiviti yang boleh anda pilih mengikut kesesuaian usia kanak-kanak dan yang paling penting "kos rendah", mungkin sedikit masa yang diperlukan. Tapi, paling penting anda akan sama merasakan keseronokan bila melakukannya bersama kanak-kanak tersebut. Ada antara aktiviti ini yang memerlukan penglibatan ibu bapa kanak-kanak. Jadi, anda boleh cadangkan idea untuk ibu bapa juga sebagai asuhan awal dirumah bagi anak-anak mereka.

Pakar perkembangan bayi percaya bahawa tahun-tahun pertama kehidupan bayi merupakan tempoh utama pembelajaran berlaku. Anda tidak perlu muzik-muzik klasik, pita-pita belajar bahasa atau kad imbas untuk merangsang otak bayi atau kanak-kanak. Alat pembelajaran terbaik baginya ialah ANDA. Bercakap, menyanyi dan ketawa bersama-sama. .. jenis-jenis interaksi-interaksi harian begini adalah lebih penting. Namun, kadangkala memang sukar untuk memikirkan cara-cara baru untuk merangsang anak kecil dibawah jagaan anda. 50 aktiviti menarik (dan berdasarkan sains) yg disyorkan ini pasti membuahkan hasil. InsyaAllah...

1. BERTENTANG MATA.

Ambil peluang ketika mata si kecil terbuka luas dan lihat dalam-dalam anak matanya. Bayi kecil dapat mengenal wajah di awal usia dan wajah anda adalah yang paling penting. Setiap kali dia merenung anda, dia sedang membina memorinya.

2. BERCAKAP-CAKAP DENGANNYA.

Walaupun reaksi yang akan anda dapat adalah rupa keliru dan hairan di wajahnya, cuba berhenti sebentar di antara ayat untuk menggalakkan bayi memberi reaksi. Lama-kelamaan, dia akan dapat menangkap ritma perbualan dan mengisi ruang kosong yang anda biarkan senyap tadi.

3. JIKA BOLEH, SUSUKAN DENGAN SUSU BADAN.

Lakukan selama mana yang boleh. Dapatkan kerjasama dari ibu kanak-kanak (jika boleh). Tahukah anda bahawa kenyataannya adalah, kanak-kanak bersekolah yang disusukan badan semasa bayi tinggi IQnya. Tambahan pula, dengan menyusu badan anda dapat merapatkan hubungan dengan bayi sambil menyanyi, bercakap atau membelai rambutnya.

4. JELIRKAN LIDAH.

Kajian menunjukkan bahawa bayi yang baru lahir semuda dua hari dapat meniru pergerakan wajah yang mudah ia menandakan kaedah penyelesaian masalah di awal usia.

5. HASILKAN BUKU BINATANG.

Sekali lagi anda melawat zoo, ambillah gambar-gambar haiwan kesukaannya untuk dialbumkan atau mungkin boleh dapatkan potongan gambar haiwan untuk "buku skrap". Kemudian, bacalah buku itu bersama-sama sambil menamakan haiwan yang dikenali atau membuat bunyi-bunyi binatang dan cerita haiwan.

6. GELETEKLAH BAYI ANDA.

Geletek keseluruhan tubuhnya. Ketawa, merupakan langkah pertama dalam perkembangan humour bayi. Permainan seperti cak cekur dan labah-labah panjat perigi, dapat mengajar kanak-kanak bagaimana hendak menjangka apa yang bakal berlaku.

7. TUNJUKKAN PERBEZAAN.

Pegang dua keping gambar lebih kurang 8-12 inci jaraknya dari muka bayi anda. Gambar-gambar tersebut seharusnya lebih kurang sama tetapi ada sedikit perbezaan (mungkin salah satunya ada pokok dan satu lagi tiada). Bayi yang masih kecil pun boleh melihat kedua-duanya dengan teliti dan mencari perbezaannya. Ini dapat membantu perkembangan dalam pengecaman huruf dan pembacaan apabila dia besar kelak.

8. BERKONGSI PANDANGAN.

Bawalah kanak-kanak meneroka dan beritahu semua perkara yang anda nampak kepadanya. Tengok anak kucing tu atau besarkan pokok ni!? atau dengar tak bunyi bomba tu untuk membekalkan kanak-kanak dengan sebanyak mungkin perbendaharaan kata.

9. NYANYIKAN LAGU UNTUKNYA.

Belajarlah sebanyak mungkin lagu yang anda boleh atau rekalah lagu anda sendiri (mari kita tukar lampin, tukar lampin, tukar lampin..). Mainkan lagu Beethoven atau Beatles. Ada kajian yang mencadangkan bahawa mempelajari ritma muzik, ada kaitan dengan pembelajaran matematik.

10. GUNAKAN MASA MENUKAR LAMPIN SEPENUHNYA.

Gunakan waktu menukar lampin untuk mengajar bahagian-bahagian badan atau pakaian. Ceritakan sambil menukar lampin untuk mengajar bayi menjangka rutin.

11. SENTUH DAN RASA.

Simpan sekotak helaian kain dengan tekstur yang berbeza-beza; sutera, kain tuala, kain kapas dan linen. Perlahan-lahan sapukan kain-kain tersebut pada pipi, kaki dan perut bayi sambil bercerita bagaimana rasanya.

12. PERGI MEMBELI-BELAH.

Bila anda perlukan rehat daripada menari dan menyanyi, lawatlah pasaraya. Wajah-wajah, bunyi-bunyian dan warna-warna yang ada di sana menghiburkan kanak-kanak.

13. BERI KATA KUNCI.

Jika anda berkata "ibu@kakak nak buka lampu ni, sebelum menekan suis, anda sedang mengajar sebab dan akibat.

14. BERI KEJUTAN.

Kadangkala, gembirakan bayi dengan meniup muka, tangan atau perutnya perlahan-lahan. Cuba tiup sambil membuat corak dan lihat reaksinya.

15. SEDIAKAN BANYAK TISU.

Jika kanak-kanak suka main tisu, berikannya peluang itu. Cuma, pastikan tisu itu tidak menjadi sumber makanannya pula Dengan hanya beberapa sen, anda mendapat alat mainan deria yang boleh direnyuk dan digosok. Sorokkan mainan kecil di bawah tisu dan biarkan dia mencari.

16. BACA BUKU.

Berulangkali. Saintis telah mendapati bahawa bayi semuda lapan bulan dapat belajar mengenali turutan dalam cerita jika dibaca dua atau tiga kali berturutan, ia dipercayai membantunya belajar bahasa.

17. MAIN CAK-CAK.

Menyorok-nyorok bukan sahaja dapat membuatkan dia ketawa. Bayi anda belajar bahawa objek boleh hilang dan muncul kembali.

18. JANGAN LUPA REHAT.

Luangkan masa beberapa minit sehari dengan hanya duduk di atas lantai bersama kanak-kanak tanpa muzik, tanpa cahaya terang, tanpa mainan. Hanya biarkan anak meneroka dan lihatlah ke mana dia membawa anda.

19. MAIN DENGAN WARNA.

Pilih satu warna dan suruh kanak-kanak cari objek lain yang sama warna. Kemudian, suruh pula kanak-kanak memilih warna untuk anda pula mencarinya.

20. BIARKAN DIA BERMAIN DENGAN MAKANANNYA.

Apabila kanak-kanak sudah boleh makan, hidangkan makanan dengan tekstur yang berbeza termasuklah kacang pea dimasak, bijirin, pasta atau cebisan daging dikisar. Dia dapat berlatih mencubit dan meneroka deria rasanya.

21. ANGKATKAN SAHAJA.

Jika bayi asyik menjatuhkan barang mainannya dari kerusi makannya yang tinggi, angkatkan dan beri kembali kepadanya walau berapa kali pun dia melakukannya. Dia sebenarnya sedang belajar dan menguji hukum graviti. Berikan dia beberapa keping kertas atau bola tennis, letakkan besen besar di bawah kerusinya dan biarkan dia menjalankan eksperimennya sendiri.

22. BIAR DIA MEMBEBEL.

Bayi memahami suara tinggi dan bunyian aneh yang anda buat.

23. LATIHAN MENEKA.

Gunakan beberapa cawan plastic dan sorokkan satu permainan kecil di bawah salah satu cawan tersebut dan biarkan dia meneka sambil mencari mainannya.

24. BINA LALUAN HALANGAN.

Tingkatkan kemahiran motor dengan meletakkan kusyen sofa, bantal, kotak atu permainan diatas lantai dan kemudian tunjukkan kepada bayi bagaimana hendak merangkak di bawah, di atas atau di sekeliling halangan tersebut.

25. IKUT RENTAKNYA.

Semakin anak anda membesar, dia semakin suka mencuba kreativitinya untuk melihat jika anda benar-benar mengikut apa yang dia lakukan seperti membuat bunyi aneh, merangkak secara terbalik atau ketawa.

26. BUAT MUKA LAWAK.

Kembungkan pipi dan suruh kanak-kanak sentuh hidung anda. Bila dia sentuh sahaja, poof! Tiupkan ke mukanya. Suruh dia tarik telinga anda dan jelirkan lidah. Buat bunyi yang pelik ketika dia memegang kepala anda. Amalkan rutin yang sama tiga ke empat kali dan kemudian tukar caranya untuk membiarkan anak kembali meneka.

27. RASA SEKELILING ANDA.

Berjalan-jalanlah di sekitar luar dengan mendukung bayi. Letakkan tangannya pada tingkap, kain, daun dan objek-objek selamat yang lain sambil melabel barangan tersebut.

28. CERITAKAN KISAH DONGENG.

Pilih kisah dongeng kegemarannya dan tukarkan nama watak utama ke nama anak supaya dia seronok.

29. BAYANGAN WAJAH.

Biarkan bayi anda merenung dirinya di dalam cermin. Dia mungkin menyangka yang dia sedang memerhatikan budak comel yang lain, tetapi dia akan menyukainya bila bayi yang lagi satu senyum dan melambai padanya.

30. (KADANGKALA) BIARKAN DIA JADI BOS.

Bina keyakinannya dengan memberi peluang untuk dia memilih salah satu daripada dua pilihan: mangkuk berlainan warna ketika waktu makan, contohnya. Dia akan tahu bahawa keputusannya diambil kira ? dan boleh berlatih menghafal nama warna.

31. GOYANGKAN BADAN.

Ajar anak untuk menari twist dan menjerit, mengepak seperti ayam atau berpusing seperti ballerina.

32. JADILAH TAMAN PERMAINAN.

Berbaring di atas lantai dan biarkan bayi anda memanjat dan merangkak di atas anda. Ia lebih murah daripada membeli gymnasium mainan dan lebih menyeronokkan. Anda dapat meningkatkan koordinasi dan kemahiran menyelesaikan masalahnya.

33. KIRA SEMUANYA.

Kira berapa banyak blok kayu yang boleh anak anda susunkan. Atau jumlah anak tangga dalam rumah anda. Atau jari jemari tangan dan kakinya. Kira dengan kuat dan pasti dia akan mengikut anda.

34. GUNAKAN MASA BERCERITA SEPENUHNYA.

Tunjukkan segala gambar dengan terperinci, dan tanya kanak-kanak segala jenis soalan daripada soalan abstrak (adik rasa kenapa Pekan nak makan telur tembakul ibunya??) sehinggalah ke soalan konkrit (Pernah tak adik nampak kucing putih??)

35. TUTUP TV.

Bayi anda memerlukan interaksi secara berdepan drngan seseorang yang tidak dapat diberikan oleh rancangan TV, walau sebaik manapun rancangan itu mengajarnya

36. TUKAR PEMANDANGAN.

Tukar kedudukan kerusi makannya di sebelah meja yang lain. Anda dapat mencabar memorinya untuk mengingat di mana hidangan diletakkan setiap kali waktu makan.

37. MAIN PERMAINAN MEMORI WAJAH KELUARGA.

Ambil gambar wajah-wajah ahli keluarga yang penting dlam kehidupan bayi, buat dua salinan bagi setiap satu gambar dan anda sudahpun ada satu set kad suai padan. Susunkan ia menghadap ke atas di atas lantai, dan bantu anak anda mencari dua kad yang serupa. Semakin bayi membesar, anda boleh mengubah cara bermain dengan menyusunnya menghadap ke bawah (menelangkupkannya) .

38. RAKAM VIDEO UNTUKNYA.

Tonton video bayi mandi buat kali pertama, belajar merangkak, main dengan nenek dan datuk bersama-sama dengannya. Ceritakan kisah video itu untuk mengasah kemahiran berbahas dan memorinya.

39. MAIN HUJAN.

Lompat ke dalam lopak air yang besar. Duduk di atas rumput basah bersamanya. Walaupun kotor, ianya menyeronokkan dan merupakan salah satu cara belajar tentang basah dan kering.

40. MENANGKAP SERANGGA.

Tunjukkan gambar serangga tidak berbahaya (kumbang ladybird, cengkerik, rama-rama) di dalam majalah atau buku, kemudian pergi ke taman bunga untuk mencarinya.

41. BERGURAU-SENDA.

Tunjukkan gambar Pak Cik Mat dan katakan "Ini Ibu.? Kemudian akui kebodohan anda dan ketawakan gurauan anda itu untuk membina naluri humour dalam dirinya.

42. MAIN DENGAN PAKAIAN.

Biarkan anak anda bermain dengan pakaian lama ayahnya. Cari kembali topi-topi, skarf atau sarung tangan lama. Main permainan olok-olok dan biarkan kreativiti dan imaginasinya membawa anda.

43. AJAR TENTANG ISIPADU.

Kumpulkan cawan-cawan atau bekas plastik yang berbeza saiz, dan biarkan anak anda memenuhkan air ke dalamnya. Kadangkala, dia akan hanya menuangkan sehingga setengah penuh. Terangkan kepadanya cawan yang mana lebih besar dan yang mana lebih kecil.

44. HASILKAN ALBUM KELUARGA.

Masukkan gambar saudara mara jauh dan dekat, selalulah melihatnya untuk membina memori anak anda. Sewaktu neneknya menelefon, tunjukkan gambar nenek sewaktu anak bercakap dengannya di telefon. Ini sesuai dilakukan dirumah yang memerlukan penglibatan ibu bapa.

45. SURUH ANAK MEMBUAT KERJA.

Anak kecil boleh membantu mengasingkan pakaian yang ingin dicuci mengikut warna. Dia juga boleh mengasingkan bajunya di antara baju-baju lain.

46. PERGI KE PERPUSTAKAAN.

Ambil peluang bila perpustakaan anda menganjurkan sesi bercerita atau tayangan teater boneka. Selain itu, barisan buku-buku juga pasti tidak menjemukan.

47. CONTOHI CARA SESAME STREET.

Khaskan satu minggu untuk satu abjad. Contohnya, baca buku yang bermula dari A, makan makanan A, potong snek mengikut bentuk A, dan tulis huruf A di halaman luar dengan kapur.

48. MAIN BERULANG-ULANG.

Cari semula permainan lamanya sewaktu dia masih bayi. Anda pasti kagum dengan kebolehannya mencari cara baru untuk bermain dengan permainan lamanya itu.

49. MAIN TIRU-MENIRU.

Merangkak dengan kelajuan yang berbeza-beza supaya kanak-kanak boleh meniru anda. Berhenti sekali-sekala untuk bermain permainan lain.

50. BERCAKAP TENTANG PERASAAN.

Peluklah dia waktu dia ingin tidur dan tanya apa yang membuatkan dia gembira atau sedih hari ini. Apa yang membuatnya marah atau bangga. Anda akan bantu dia memahami apa yang telah berlaku dan cara melabel emosi.

Bagaimana Mendidik Anak Cara Islam

Menurut perspektif Islam, pendidikan kanak-kanak ialah proses mendidik, mengasuh dan melatih rohani dan jasmani mereka berteraskan nilai-nilai baik yang bersumberkan Al-Quran, Hadis dan pendapat serta pengalaman para ulama. Ia bertujuan melahirkan "Insan Rabbani”" yang beriman, bertakwa dan beramal soleh.

Falsafah pendidikan sebenarnya menekankan aspek rohani dan jasmani, sesuai dengan kejadian manusia itu sendiri yaang terdiri daripada roh dan jasad. Ianya melibatkan beberapa peringkat, bermula dari dalam kandungan sehinggalah ia lahir dan menjadi dewasa.


Membentuk Dunia Kanak-kanak

Sebelum anak-anak dilahirkan, ibubapa menyediakan tempat yang sesuai untuk membesarkan anak dengan sebaik-baiknya. Ini bermakna dunia kanak-kanak setelah dilahirkan ialah rumah ibubapa itu sendiri. Untuk mencapai kesempurnaan hidup kanak-kanak, ibu-bapa perlu membentuk suasana harmoni dan bercirikan keislaman dalam kehidupan rumahtangga terlebih dahulu.

Jika pasangan suami isteri menghayati nilai-nilai keislaman dalam kehidupan rumahtangganya, mudahlah ia mendidik anak-anaknya dengan benih-benih Islam. Sebaliknya, jika pasangan suami isteri gagal menerapkan nilai-nilai Islam dan mengekalkan kerukunan rumahtangga, sukarlah bagi mereka mentarbiyah anak-anak mengikut acuan dan budaya hidup Islam.

Atas itulah Rasulullah S.A.W mengingatkan bakal-bakal suami agar memilih bakal isteri yang mempunyai kesungguhan dan penghayataan agama, bukan kerana paras rupa, keturunan atau harta semata-mata. Sabda Rasulullah yang bermaksud:

"wanita dikahwini kerana empat perkara, iaitu kerana hartanya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Maka pilihlah yang beragama kerana ia menguntungkan kamu(lebih utama)"

Ketika Anak Dalam Kandungan

Proses pendidikan mula berlaku ketika bayi masih berada dalam kandungan ibunya. Pendidikan pada peringkat ini lebih bercorak kerohanian, iaitu:

Bagi ibu-ibu yang mengandung digalakkan supaya memper-banyakkan bacaan Al-Quran terutama surah Yusuf, Mariam, Luqman dan At-Taubah.

Ibu hendaklah sentiasa berdoa kepada Allah S.W.T agar anak yang bakal dilahirkan itu nanti menjadi seorang anak yang soleh, berilmu, beriman, bertakwa dan berakhlak mulia.

Ibu bapa hendaklah mendapat rezeki daripada sumber yang halal supaya benih yang bakal dilahirkan itu nanti datang daripada darah daging yang halal.

Ibu hendaklah makan makanan yang berzat dan sentiasa menjaga kesihatan tubuh badannya. Kebersihan diri hendaklah diutamakan bagi menjamin kesihatan anak-anak dalam kandungan. Faktor kesihatan amat dititik beratkan oleh Islam sehingga Islam memberikan kelonggaran kepada ibu yang mengandung untuk berbuka puasa sekiranya merasakan puasa itu menjejaskan kesihatan diri dan anaknya.

Ketika mengandung, ibu perlulah menyesuaikan diri dengan perubahan perubahan yang berlaku kepada dirinya. Pada waktu begini sememangnya keadaan ibu agak berbeza dari waktu - waktu biasa, terutamanya bagi ibu yang bakal melahirkan anak yang pertama. Mungkin selera makannya hilang, perasaan agak terganggu(sensitif) dan hatinya boleh berdebar-debar kerana bayi dalam kandungannya itu adalah sebahagian daripada dirinya. Ketika ini para suami hendaklah lebih memahami keadaan isteri serta memberi dorongan yang kuat kepadanya.

Setelah Anak Dilahirkan

Setelah anak dilahirkan, hendaklah segera diazankan telinga kanannya dan diiqamatkan telinga kirinya.

Abu Rafi meriwayatkan sebuah hadis yang bermaksud:

"Aku melihat sendiri Rasulullah S.A.W mengazankan Hasan B. Ali pada telinganya ketika ia baru dilahirkan oleh Fatimah r.a" (Riwayat Abu Daud dan Termizi)

Sebagai suapan yang pertama, sunat bayi disuapkan dengan manisan seperti madu dan kurma. Abu Musa Al Asyari r.a. dalam sebuah riwayat mengatakan:

“Isteriku melahirkan seorang anak. Bayi itu ku bawa kepada Rasulullah S.A.W.. Baginda menamakannya Ibrahim, kemudiannya disuap dengan buah kurma(yang telah dilumatkan) setelah itu baginda mendoakan keberkatan baginya lalu bayi itu diserahkan kembali kepadaku”. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Pada hari ketujuh kelahirannya, ibu bapa disunatkan bersedekah dengan melakukan ibadah aqiqah untuk anaknya. Seekor kambing bagi anak perempuan dan dua ekor kambing bagi anak lelaki. Rambutnya pula sunat dicukur keseluruhannya supaya kepalanya bersih, otaknya cergas dan rambut barunya tumbuh dengan subur dan sihat.

Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud:

"Setiap anak yang baru dilahirkan bergantung kepada aqiqahnya. Hendaklah diaqiqahkan dengan menyembelih kambing pada hari ke tujuh, diberi nama pada hari itu dan dicukur kepalanya". ( Riwayat Abu Daud, Termizi dan Nasa)

Bagi ibu yang menyusukan anak, ia perlu makan makanan yang halal, bersih, dan berzat. Ketika menyusukan anak, hatinya hendaklah selalu mendoakan kejayaan anaknya. Ketika hendak tidur, dodoikan (lagukan) dengan kalimah memuji Allah dan Rasulnya seperti nasyid dan sebagainya.

Apabila anak sudah mulai pandai bercakap, hendaklah membiasakannya dengan percakapan yang baik-baik seperti selawat, zikir dan lain-lain perkataan yang seumpamanya.

Umur antara 5 hingga 7 tahun

Pada peringkat umur antara 5-7 tahun, memerlukan teknik pendidikan yang lebih luas dan menyeluruh. Pengisian antara keperluan rohani dan jasmani perlu didedahkan serentak dan diseimbangkan. Teknik pembelajaran dan pengajaran perlu menggunakan kaedah yang sesuai kerana kanak-kanak biasanya akan belajar(mengikut) berdasarkan pemerhatian iaitu apa yang dilakukan oleh individu disekelilingnya terutama ahli keluarganya.

Menurut pandangan Islam, pada peringkat ini anak-anak wajar didedahkan dengan latihan menulis, membaca, mengira dan berbahasa. Pendidikan yang wajar didedahkan pada peringkat ini ialah bab ibadah dan akhlak. Misalnya kanak-kanak yang baru meningkat umur mumayyiz hendaklah dilatih mendirikan sembahyang. Seterusnya adab-adab yang mulia hendaklah mula diterapkan dalam bentuk latihan amali seperti:

01Mendidik anak supaya taat dan beradab kepada kedua ibubapanya; timbulkan kesedaran kepada mereka bahawa pengorbanan ibubapa terhadapnya adalah amat besar dan mereka perlu bersyukur kerana menjadi anak yang masih mempunyai kedua ibubapa. Ini dapat mengeratkan hubungan mesra, rasa kasih sayang antara ahli keluarga.

02Mengajar anak supaya taat dan beradab kepada guru dan orang yang lebih tua daripadanya; guru merupakan orang yang bertanggungjawab mendidik dan menyampaikan ilmu manakala orang yang lebih tua adalah orang yang lebih berpengalaman dan berpengetahuan daripadanya.

03Mengajar anak bercakap atau bergaul dengan baik; anak-anak hendaklah dilatih bercakap benar, sopan santun dan mengucapkan perkataan yaang baik-baik. Kanak-kanak biasanya begitu sensitif dengan pendengarannya, ia mudah terikut-ikut dengan apa yang didengarnya. Sebab itu jika ibubapa mahu menegur atau memarahi mereka, hendaklah menggunakan bahasa yang paling sopan bukannya dengan bahasa yang kesat, kasar dan keras.

04Mengajar anak-anak adab bergaul dengan rakan-rakan; anak-anak harus dinasihatkan agar tidak berbangga atau meninggi diri di hadapan rakan sebayanya, jangan sekali-kali menyakiti atau mengambil hak orang lain .

05Mengajar anak adab makan minum yang baik; sifat atau sikap yang tidak sopan seperti gelojoh ketika makan hendaklah ditegah, sebaliknya anak-anak dilatih dulu dengan adab-adab makan seperti mencuci tangan, duduk dengan sopan serta berdoa sebelum dan sesudah makan.

06 Mengajar anak adab berpakaian; pakaian yang dipilih hendaklah menutup aurat dan bukan untuk menunjuk-nunjuk kepada orang lain.

07Mengajar adab dan bangun daripada tidur; sebaiknya hendaklah mengadap qiblat, membersihkan diri sebelum dan selepas bangun daripada tidur.

08Mengajar anak adab masuk dan keluar tandas, anak-anak perlu diajar cara membuang air kecil/besar dan cara masuk ke dalam tandas seperti membaca doa, menutup kepala,membelakangkan qiblat dan sebagainya.

Anak-anak merupakan amanah Allah yang perlu dididik dengan sebaiknya sejak ia kecil lagi supaya apabila besar kelak menjadi anak yang soleh dan sentiasa taat kepada kedua ibubapanya. Mereka ibarat kain putih dan ibubapa lah yang berperanan mencorak dan melukiskannya dengan warna-warna menarik yang menjadi amalan dan cara hidup Islam.



40 kesilapan ibubapa dalam mendidik anak-anak.

1) Pemilihan jodoh tanpa memperhitungkan mengenai zuriat.
2) Perhubungan suami isteri tanpa memperhitungkan mengenai zuriat.
3) Kurang berlemah lembut terhadap anak-anak.
4) Memaki hamun sebagai cara menegur kesilapan anak-anak.
5) Tidak berusaha mempelbagaikan makanan yang disaji untuk anak-anak.
6) Jarang bersama anak-anak sewaktu mereka sedang makan.
7) Melahirkan suasana yang kurang seronok ketika makan.
8 ) Membeza-bezakan kasih sayang terhadap anak-anak.
9) Kurang melahirkan kasih sayang.
10) Sering mengeluh di hadapan anak-anak.
11) Tidak meraikan anak-anak ketika mereka pergi & pulang dari sekolah.
12) Tidak mengenalkan anak-anak dengan konsep keadilan.
13) Tidak memberatkan pendidikan agama dikalangan anak-anak.
14) Tidak terlibat dengan urusan pelajaran anak-anak.
15) Tidak programkan masa rehat dan riadah anak-anak.
16) Tidak menggalakkan dan menyediakan suasana suka membaca.
17) Mengizinkan anak menjamah makanan @ minuman yang tidak halal.
18) Tidak tunjuk contoh tauladan yang baik di hadapan anak-anak.
19) Jarang meluangkan masa untuk bergurau senda dengan anak-anak.
20) Terdapat jurang komunikasi di antara ibu bapa dan anak-anak.
21) Tidak menggunakan bahasa yang betul.
22) Suka bertengkar di hadapan anak-anak.
23) Senantiasa menunjukkan muka masam di hadapan anak-anak.
24) Tidak Membimbing Anak-anak supaya mematuhi syarat.
25) Memberi kebebasan yang berlebihan kepada anak-anak.
26) Terlalu mengongkong kebebasan anak-anak.
27) Tidak menunaikan janji yang dibuat terhadap anak-anak.
28) Tidak menunjukkan minat kepada aktiviti anak-anak.
29) Tidak memupuk semangat membaca di kalangan anak-anak.
30) Tidak berminat melayan pertanyaan atau kemusykilan anak-anak.
31) Tidak memberi perhatian terhadap buah fikiran anak-anak.
32) Lambat memberi penghargaan kepada anak-anak.
33) Kerap Meleteri sesuatu kesilapan yang dilakukan oleh anak-anak.
34) Hukuman yang tidak setimpal dengan kesalahan yang dilakukan.
35) Sering mengancam dan menakutkan anak-anak.
36) Menghukum tanpa menyatakan kesalahan yang dilakukan.
37) Tidak konsisten dalam menjatuhkan hukuman keatas anak-anak.
38) Memberi nasihat yang sama kepada anak-anak.
39) Tidak tegas mendidik anak-anak.
40) Tidak menggalakkan anak-anak hidup bekerjasama.

Tips Mendidik Anak-anak





TIDAK MEMBEZA-BEZAKAN KASIH SAYANG TERHADAP ANAK-ANAK

Agama tidak membenarkan ibu bapa membeza-bezakan kasih sayang terhadap anak-anak. Ibu bapa bertanggungjawab mendidik dan memberi sesuatu kepada setiap anak dengan adil tanpa membezakan antara satu sama lain.

Terdapat ramai ibu bapa yang suka membeza-bezakan kasih sayang terhadap anak-anak. Perbezaan kasih sayang ini biasanya dibuat atas dasar kecantikan paras, kepandaian dan kepintaran, kesempurnaan fizikal dan mental, kerajinan dan pelbagai kelebihan lain yang mungkin tidak ada pada diri anak-anak yang lain.

Anak-anak yang menjadi mangsa perbezaan kasih sayang biasanya berasa kehilangan tempat berpaut, rasa tidak diperlukan, sentiasa memendam rasa dan sering memikirkan tentang kekurangan diri di samping tertanya-tanya sebab-sebab yang membuatkan ibu bapa tidak menyayangi mereka. Sebaliknya anak-anak yang mendapat kasih sayang ibu bapa akan merasa diri mereka disayangi.

Untuk mengelakkan sebarang kesan negatif yang mungkin timbul hasil daripada perbezaan layanan antara anak-anak, berikut diperturunkan langkah-langkah positif yang perlu diambil :

  • Fahami dan hayati bahawa perbuatan membeza-bezakan kasih sayang di antara anak-anak adalah ditegah oleh agama.

  • Belajar menyelami lubuk hati anak-anak. Mereka juga seperti anda mempunyai perasaan, berjiwa halus, emosi, bisikan kalbu, dan curahan nurani. Sama seperti kita, mereka juga ada perasaan marah, ada rasa harga diri, ada perasaan merajuk, ada desakan untuk dibelai, ada rasa terguris hati, ada menyimpan perasaan dan sebagainya. Oleh itu amat penting bagi kedua ibu bapa berlaku adil bukan sahaja dari segi penyaluran kebendaan malah yang lebih penting adil dalam menjaga hati dan perasaan anak-anak tersebut.

  • Yakini benar-benar bahawa setiap anak anda adalah unik. Yang cantik adalah unik dan yang hodoh juga adalah unik. Yang pandai adalah unik dan yang kurang menyinar pun adalah unik. Belai dan bangunkanlah ciri-ciri keunikan anak-anak anda itu.

  • Ibu bapa kebanyakannya mampu melihat potensi lahiriah sahaja. Banyak lagi potensi yang tidak sedia terjelma mempunyai ribuan kemungkinan akan terserlah pada suatu masa nanti. Hanya kita sebagai ibu bapa yang mungkin kurang bijak untuk membantu menyerlahkan potensi anak-anak itu.

  • Ingatlah bahawa sebarang kesilapan walau sekecil manapun akan mempunyai kesan dan padah yang tidak mungkin dapat dibayangkan. Sesungguhnya anda melakukan sesuatu kezaliman seandainya ini berlaku ke atas anak anda. Penyesalan pada hari muka tidak ada ertinya lagi.